Alwaqti

Sisipan Nurani Muslim

Saturday, January 9, 2010

Apa Azam Aku Tahun Ni?

Assalamualaikum....

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dipertemukan sekali lagi dalam lembaran baru. Baiklah, sedar tak sedar, kita telahpun memasuki tahun 2010. Hal ini menunjukkan bahawa kita sudah mula mengorak langkah dalam fasa kehidupan yang baru. Seiring dengan itu juga, sudah menjadi kelaziman bagi setiap individu untuk mempunyai azam baru bagi setiap tahun baru yang bakal ditempuhinya. Percaya atau tidak namun itulah hakikat kehidupan zaman ini. Azam sering dijadikan sandaran ataupun pemangkin(catalyst) untuk membangkitkan semangat masing-masing agar dapat mencapai segala impian yang dihajatkan serta menempuh kehidupan yang cemerlang pada masa hadapan. Jadi, jikalau sekali pandang, mungkin perkara ini dilihat sebagai metodologi terbaik untuk membangunkan masyarakat khususnya generasi remaja supaya sentiasa bersemanagat waja dan berpandangan jauh dalam apa-apa jua keadaan.

Namun persoalannya sekarang, cukupkah kita sekadar berazam sahaja? Kita selalu mengharapkan perubahan dalam diri kita sendiri tetapi adakah perubahan itu akan benar-benar terjadi jika kita hanya berazam tanpa melakukan usaha yang boleh mencetuskan perubahan itu. Misalnya, anda seorang pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki SPM pada penghujung tahun ini. Lantas anda berazam untuk melipatgandakan usaha dalam pelajaran agar cita-cita anda untuk mencapai keputusan cemerlang dalam SPM menjadi suatu kenyataan. Biarpun begitu, anda tidak menunjukkan sebarang minat serta kesungguhan dalam menggapai impian anda. Oleh itu, adakah anda akan cemerlang dalam SPM? Tepuk dada tanyalah selera...

Oleh hal yang demikian, kita perlulah menyedari bahawa setiap kejayaan yang ingin dimiliki memerlukan pengorbanan. Allah S.W.T berfirman,'Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum selagi kaum tersebut tidak mengubah nasibnya sendiri'. Jadi, untuk berjaya kita perlulah mengubah diri terlebih dahulu. Janganlah terlalu banyak memasang angan-angan tanpa sebarang anjakan paradigma. Lebih elok kita memiliki suatu azam, lalu kita berusaha ke arah apa yang kita azamkan sehinggalah kita berjaya mencapainya..

Tuntasnya, tetapkanlah azam anda sebaik-baiknya. Tidak perlulah berazam banyak-banyak jikalau tidak mampu melakukannya kerana perbuatan sedemikian hanya merugikan diri sendiri. Ingat, genggam bara api biar sampai jadi arang. Berusahalah bersungguh-sungguh sehingga anda mencapai impian yang diidam-idaamkan selama ini
Wallahu a'lam..........