'Allahu akbar...Allahu akbar',alunan azan subuh memecah keheningan suasana pagi. Seketika itu, kelihatan Mak Limah sudah tercegat di hadapan pintu bilik tidur Haziq.
Mak Limah: Haziq! Haziq! Bangun nak! Dah masuk subuh ni.....
Haziq: Hmmmmm......Ye lah! Ye lah! Kejap lagi Ziq bangunlah!
Mak Limah: Eh, bangunlah sekarang! Boleh kita berjemaah dengan ayah sama-sama kat
masjid............
Haziq: Alaaaa....ibu ni banyak bunyi la pulak! Kejap lagi Haziq solatlah! Bukannya Ziq
tak sembahyang langsung! Hishh!
Mak Limah terdiam sebentar. Dia terkenangkan kata-katanya terhadap Haziq sebentar tadi. Adakah dia telah menuturkan sesuatu yang mengguris perasaan anak bongsunya sehingga Haziq sanggup berkata begitu kepada ibunya sendiri? Atau dia sengaja bertindak begitu untuk melepaskan diri? 'Ah!!! Itu semua tak penting! Itu semua mainan perasaan! Limah, kau kena kuat! Kau kena kuat!' Mak Limah cuba mengembalikan keyakinan dirinya yang hampir hilang seketika tadi. Dia agak hairan dengan sikap Haziq tadi. Anak bongsunya itu seperti sudah berubah 180 darjah. Jikalau dulu setiap tutur kata dan jawapan yang diberikan cukup lemah lembut dan penuh dengan kesopanan. Haziq tak pernah meninggikan suara dalam apa jua keadaan. Entah kenapa agaknya angin dirinya hari ini tiba-tiba berubah?
Sambil berfikir, Mak Limah terus menuju ke ruang tamu rumahnya untuk menunaikan solat subuh bersama-sama suami tercinta dan anak sulungnya, Zafirah. Sesampainya di situ, dia terus menghamparkan sejadah lalu mengangkat takbiratul ihram; dengan berimamkan suaminya, Pak Man. Dengan bersungguh-sungguh Mak Limah cuba mengosongkan mindanya daripada segala perkara keduniaan untuk mendapatkan khusyu' dalam solat..
'Kepada Engkau Kami sembah dan kepada Engkau jualah tempat Kami memohon pertolongan'
'Tunjukkanlah kepada Kami jalan yang lurus'
'Yakni jalan-jalan yang Engkau kurniakan nikmat baginya dan bukanlah bagi jalan-jalan orang yang sesat'
Kalbunya tersentuh lantaran ayat itu dibacakan. Keinsafan mula dirasai dalam dirinya. Setiap kali kedengaran ayat ini Mak Limah terasa begitu kerdil dan amat lemah. Dia cuba membayangkan dirinya di hadapan Rabbul Jalil dlam keadaan dirinya yang penuh dengan lumuran dosa. Astaghfirullahalazim!!! Hampir-hampir sahaja air matanya berlinangan; namun mujurlah mampu ditahannya. Dan pada saat itu, Mak Limah terus berdialog dengan tuhannya dengan penuh khusyu'dan tawadu'.....
Seusai bersolat, Mak Limah masih duduk terdiam di samping Pak Man dan Zafirah. Kebiasaannya mereka akan bertafakur dan berzikir sebentar setelah mengerjakan sembahyang fardhu. Memohon keampunan Pencipta, memuji dan membesarkan-Nya walaupun seketika jelasnya mampu menjernihkan jiwa serta membugarkan kembali ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Ini amat-amat penting bagi memastikan kestabilan iman pada setiap waktu. Pak Man mengalunkan zikir dengan penuh penghayatan sambil diikuti oleh Mak Limah dan anak perempuannya...
Setelah selesai berzikir dan berdoa, mereka masih belum berganjak daripada tikar solat. Untuk kali ini, mereka akan mendengar tazkirah daripada Pak Man. Lazimnya, Pak Man akan meluangkan masanya beberapa minit selepas solat untuk mengingatkan ahli keluarganya agar sentiasa merancang hidup dengan sebaiknya untuk kehidupan hari ini. Dia tidak mahu isteri dan anak-anaknya mensia-siakan setiap saat dalam kehidupan mereka. Baginya setiap saat yang berlalu adalah suatu kerugian jika tidak dimanfaatkan dengan amalan yang baik..............
Pak Man: Limah, mana perginya anak kita Haziq ni? Tak solat sama-sama dengan kita
ke?
Zafirah: Ha'ah bu. Adik tak turun pulak hari ni. Dia sakit ke?
Mak Limah: Entahlah, tadi ibu kejutkan dia; tapi dia marah-marah pulak dengan ibu.
Ibu pun tak tau apa sebabnya dia marahkan ibu.
Pak man agak terkejut dengan penjelasan isterinya. Agak pelik apabila mendengar anak bongsunya itu marah kepada ibunya. Ini kerana jarang-jarang sekali melihat Haziq memarahi seseorang lebih-lebih lagi kepada Mak Limah yang selama ini selalu memanjakan serta menjaganya dengan baik.
Pak Man: Hmmm....kamu tak tanya pulak kat Haziq sebab apa dia jadi macam tu? Manalah
tau takut-takut dia ada tekanan perasaan disebabkan masalah lain ke?
Mak Limah: Tak terfikir pulak abahnya.....
Pak Man: Haaa....itulah, lain kali kita kena tanya dekat anak-anak kita kalau mereka
ada masalah. Setakat bagi kasih-sayang dan kemewahan tak cukup
sebenarnya...Apa yang penting sebenarnya ialah perhatian kita terhadap
mereka. Macam kawan, mereka juga perlukan seseorang sebagai tempat
berkongsi masalah dalam rumah ini. Maka kita sebagai ibu bapa perlulah
sentiasa mengambil berat tentang perihal anak kita daripada sekecil-kecil
perkara hinggalah sebesar-besar perkara...
Mak Limah: Ya lah abahnya....cuba abang pulak pergi tanya dekat anak kita tu.
Manalah tahu terbuka pula hatinya nak bagi tahu
Pak Man: Aaa...ye lah, ye lah.....saya cuba tanya dia sekejap lagi......
Setelah itu, Pak Man meneruskan tazkirahnya seperti biasa. Seusai memberi tazkirah, dia terus bergerak ke kamar Haziq untuk berjumpa dengan anak kesayangannya itu. Sambil berjalan tapak demi tapak, Pak Man berfikir dan cuba menyusun kata-katanya agar mudah baginya mengorek segala kekusutan yang berada dalam diri anak bongsunya itu. Pada masa yang sama, dia juga memohon agar Allah sentiasa mengurniakan kesabaran sepertimana sabarnya para 'Ulul 'Azmi dalam menghadapi apa jua rintangan kehidupan..
Sesampainya di hadapan pintu bilik Haziq, Pak Man terus memberi salam dan meminta keizinan untuk masuk ke dalam. Hampir tiga kali dia melakukan perbuatan yang sama namun masih tiada respons daripada anaknya. Lalu dia cuba memulas tombol pintu bilik anak bongsunya itu. Mujurlah dia tidak menguncinya.
Saat melangkah ke dalam bilik itu................................
AKAN BERSAMBUNG.............
Friday, February 18, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
laa..suspen giler..cepat2 tulis utk smbungannya..xsabar ni..
ReplyDelete