Alwaqti

Sisipan Nurani Muslim

Thursday, February 18, 2010

Jaga Pandangan

Assalamualaikum. Bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana keizinan-Nya membuka peluang untuk ana berkongsi pendapat bagi tulisan kali ini. Tidak dapat dinafikan, mata merupakan antara pancaindera yang dikurniakan Allah S.W.T kepada setiap makhluk ciptaan-Nya. Jadi, apakah sebenarnya fungsi mata? Mata sebenarnya bukanlah sekadar untuk melihat keindahan alam ini secara lahiriah sahaja, namun manusia dikurniakan mata untuk melihat, merenungi, dan mentafakuri setiap kejadian yang ada di alam ini. Kita mungkin bernasib baik kerana masih dikuriakan sepasang mata yang cukup sempurna, cantik, dan menawan. Berbeza sekali dengan golongan buta, mereka tidak mampu melihat serta menikmati keindahan alam ini seadanya. Mereka tidak berupaya untuk melihat orang lain sepertimana kita melihat ahli keluarga sendiri setiap hari di rumah. Mereka juga tidak boleh menatap keindahan ciptaan Ilahi seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan sedangkan kita, manusia biasa yang cukup kesempurnaannya mampu berkelakuan sedemikian. Subhanallah, betapa besarnya nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita selama ini.

Walau bagaimanapun, adakah kita benar-benar menjaga pancaindera tersebut? Adakah kita menggunakan mata untuk membaca kalamullah dan merenungi kejadian alam? Atau semata-mata digunakan untuk menonton adegan panas bagi tujuan memuaskan nafsu sendiri? Dua kemungkinan inilah yang akan membezakan seseorang manusia di sisi tuhannya, sama ada mereka untung atau rugi. Beruntunglah bagi sesiapa sahaja yang menuruti perintah Allah dengan tulus tanpa apa-apa keraguan kerana mereka bukan sahaja mampu mengawal nafsu malah mengekang diri daripada tercampak dalam kancah kemaksiatan. Sebaliknya, rugilah bagi sesiapa sahaja yang menurut hawa nafsu semata-mata kerana mereka tidak akan memperoleh apa-apa kebaikan melainkan keseronokan melihat kebatilan yang hanya mendatangkan kemurkaan Pencipta.

Saudaraku,

Sesungguhnya Allah akan sentiasa menguji hamba-Nya walau dalam keadaan apa sekalipun. Ujian ini bukanlah untuk menyusahkan hamba-Nya tetapi hanya untuk melihat sejauh mana kemantapan taqwa dan iman mereka kepada Yang Maha Agung. Jadi, mata yang dianugerahkan sebenarnya bukanlah untuk kepuasan dan keseronokan semata-mata. Anggaplah ia sebagai satu ujian dan tarbiyyah agar kita mampu memanfaatkannya sebaik mungkin ke arah kebaikan, insyaallah... Hindarkan diri daripada melihat kemaksiatan. Sentiasa berusaha dan bertawakal kepada Ilahi moga-moga kita terus istiqamah dalam menggunakan nikmat mata sebaik-baiknya.

Akhir kalam, ana berdoa moga-moga coretan ini mendatangkan manfaat dan keinsafan kepada diri ana sendiri juga para pembaca yang lain. Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment