Alwaqti

Sisipan Nurani Muslim

Thursday, April 29, 2010

Tarbiyyah Kehidupan

Bismillah......

Segala puji dihadapkan kepada tuhan yang satu, Allah Azza Wa Jalla, kerana dengan kekuasaannya, sekali lagi ana berpeluang menukilkan sesuatu untuk tatapan saudara-saudari sekalian. Alhamdulillah, lafazkanlah kesyukuran kerana sekali lagi kita berpeluang untuk berada di muka bumi ini sambil menghirup kesegaran udara yang sudah pasti tiada tandingan bagi yang lain..

Baiklah, hari ini, ana ingin berkongsi sedikit pengalaman yang cukup berharga pada diri ana sendiri; dan insyaallah berguna kepada antum sekalian. Pengalaman ini jelas sekali berkait rapat dengan keyakinan kita kepada pencipta alam ini, Allah S.W.T. Pengalaman ini sebenarnya ana kutip sepanjang melalui proses pembelajaran teknik pemanduan kereta..

Sebagai pengetahuan, ana terpaksa melalui 3 kali ujian JPJ sebelum memperoleh lesen. Situasi ini sememangnya menyulitkan ana bukan sahaja dari segi kewangan malah kesuntukan masa. Ana terpaksa menghabiskan banyak masa semata-mata untuk belajar memandu. Begitulah pendeknya fikiran ana tatkala runsing memikirkan masalah tersebut.

Akan tetapi, di sebalik ulangan tersebut, ana peroleh suatu nasihat yang cukup bermakna, yang hadir daripada mulut tenaga pengajar ana sendiri. Pada mulanya ana menyangka beliau seorang yang garang kerana beliau merupakan bekas tentera. Ini membuatkan ana bertambah takut untuk belajar dengannya. Namun, tanggapan ana sememangnya salah. Ana cukup kagum dengan caranya mendekati anak didiknya. Walaupun beliau seorang yang tegas, tetapi beliau tak pernah menjatuhkan mahupun memperkecil semangat anak didiknya; tak seperti sesetengah tenaga pengajar yang kadangkala terus 'membantai' anak muridnya secara melulu yang membuatkan mereka hilang minat untuk belajar.

Malah, apa yang lebih bermakna, beliau pernah berpesan kepada ana...

'Hatta, kenapa dengan kamu? Kenapa gelabah sangat nak tukar gear masa dekat jalan raya? Susah sangat ke nak buat 'bukit'? Pak cik rasa kamu ni takut sangat dekat JPJ masa 'test'. Orang lain yang pak cik ajar ok je...

Kamu kena ingat, JPJ tu manusia. Buat tak tahu je. Anggap diorang tak ada masa kamu sedang ambil ujian. Dan satu lagi, kamu kena yakin dengan Allah. Semua yang terjadi ini atas kehendak-Nya. Mungkin Dia nak uji kamu, nak tengok sejauh mana kesabaran kamu bila ditimpa masalah. Jangan lupa, setiap kali nak mulakan sesuatu baca isti'azah dan basmalah. Mintak perlindungan daripada Allah. Ingat, kamu tu orang Islam. Jangan lupa pada Allah. Dia sahaja yang boleh tolong kamu. Orang cina dengan india pun sembahyang jugak, berdoa dekat tuhan mereka minta dibantu. Inikan kamu orang Islam.'

Kata-kata itulah yang banyak menginsafkan ana. Sehebat mana pun kita, namun kadangkala kita juga terlupa akan sesuatu perkara. Kata-kata itu mengajar ana supaya sentiasa yakin kepada Allah dan banyak bergantung harap kepada-Nya. Kerna itu sahaja yang mampu menjadikan kita mukmin yang kuat dan disayangi Allah S.W.T. Wallahualam....

No comments:

Post a Comment