Alwaqti

Sisipan Nurani Muslim

Monday, June 21, 2010

Anugerah Ilahi

Bismillahirrahmanirrahim....

Segala puji hanyalah milik Allah S.W.T, tuhan yang satu-satunya memiliki kekuasaan bagi kesuluruhan alam ini serta isinya. Tiada yang lebih berhak untuk disembah melainkan-Nya, dan kepada-Nya jualah tempat kita memohon petunjuk dan pertolongan. Sepertimana dalam firman Allah S.W.T:

"Kepada Engkau kami sembah, dan kepada Engkau jualah tempat Kami memohon
pertolongan"
(Al-Fatihah,ayat ke-4)

Saudara seislamku sekalian,

Manusia ataupun 'insan' dalam istilah arab, merupakan antara makhluk ciptaan Allah yang cukup unik dari segi mata kasar. Hal ini kerana manusia diciptakan dengan penuh kesempurnaan baik dari segi lahiriah mahupun batiniah.

Firman Allah S.W.T:

"Sesungguhnya Kami jadikan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian"

(At-Tin,ayat ke-4)

Misalnya, dari segi lahiriah, manusia dikurniakan 5 deria pendengaran yang cukup berharga dalam menjalani kehidupan seharian di dunia fana' ini. 2 pasang mata; untuk melihat keindahan serta keagungan ciptaan Ilahi, 2 pasang telinga; mendengar dan meneliti bunyi-bunyian yang wujud di alam ini, hidung; untuk menghidu kesegaran dan keharuman udara di angkasa raya, lidah; bagi merasa kelazatan buah-buahan serta makanan, dan 2 pasang kaki; berjalan mengembara dunia Ilahi yang cukup luas. Bukan itu sahaja, manusia juga sebenarnya telah dikurniakan suatu anugerah yang tidak ternilai harganya; yakni akal. Akal membolehkan manusia membezakan antara hak dengan batil, baik dan buruk, serta membantu mereka bertindak secara rasional dalam melakukan sesuatu perkara. Inilah kelebihan utama yang tidak ada pada makhluk lain melainkan manusia sahaja.

Mengapa manusia sahaja mempunyai akal? Persoalan yang mungkin pernah terdetik di sanubari kita, cuma kadangkala kita tidak mengambilkisah serta mengabaikannya. Walaubagaimanapun, hendaklah kita senantiasa ingat bahawa Allah menjadikan manusia, yang tidak lain tidak bukan sebagai khalifatul alam, untuk mentadbir segala urusan di muka bumi ini. Timbul lagi satu persoalan, kenapa agaknya Allah memilih manusia sebagai pemimpin tetapi bukan binatang, tumbuhan, atau makhluk-makhluk lain? Jawapannya kerna kita memiliki akal. Seperti yang ana katakan, akal membolehkan manusia berfikir dan bertindak sewajarnya.Jadi, mana mungkin haiwan serta tumbuhan yang melata di bumi Allah ini dilantik sebagai khalifah sedangkan mereka tidak dikurniakan kebolehan berfikir, iaitu akal. Masha Allah.....

Sidang pembaca sekalian,

Begitulah hebatnya kurniaan yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Cuba bayangkan sejenak, sekiranya manusia tidak diberikan akal, maka siapakah yang selayaknya menjadi pemimpin di dunia ini? Mungkinkah alam ini akan tetap terpelihara jika tiada seorang pun mampu menakhodai bahtera alam ini? Oleh itu, bersyukurlah dengan segala yang dikurniakan oleh-Nya kepada kita. Terimalah seadanya ketentuan yang telah ditetapkan kepada kita, kerana pada tiap-tiap kejadian yang berlaku pasti tersembunyi hikmahnya. Akhir kalam, renungilah maksud potongan ayat Al-Quran di bawah, semoga ia mampu menjadikan kita insan yang sentiasa bersyukur..Wallahua'lam.


"Sekiranya kamu bersyukur, nescaya akan aku tambahkan nikmatku kepadamu,
sebaliknya jika kamu kufur, ingatlah bahawa azab Allah itu amatlah
pedih...."

No comments:

Post a Comment